Menteri Pertahanan tiba di Itali untuk lawatan kerja 2 hari
TURIN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Itali hari ini bagi lawatan kerja rasmi selama dua hari.
Beliau kemudiannya dijadualkan berangkat ke Berlin, Jerman esok bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN Peacekeeping Ministerial 2025) yang akan berlangsung pada 13 dan 14 Mei ini.
Mohamed Khaled berkata, ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Malpensa, Milan disambut Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam, Atase Pertahanan Kedutaan Besar Malaysia di Rom, Kepten Mohd Kindil Md Akim dan Konsul dan Pesuruhjaya Perdagangan di Milan, Ravidran Manogaran.
“Lawatan ke Itali ini merupakan yang pertama sejak saya dilantik sebagai Menteri Pertahanan. Semasa di Turin, saya akan mengadakan lawatan industri di fasiliti syarikat pertahanan Itali, Leonardo S.p.A. di Leonardo Caselle Nord,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lawatan industri itu bertujuan meninjau kemajuan pembinaan pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) oleh syarikat pertahanan Itali itu.
“Kementerian Pertahanan telah membuat perolehan dua buah pesawat MPA (Fasa 1) daripada Leonardo S.p.A. pada tahun 2023 dan kedua-dua buah pesawat ini dijangka siap pada tahun hadapan bagi kegunaan TUDM dan negara,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








