BERITA SEMASA

88 peratus usahawan Bumiputera masih berstatus mikro, MARA fokus lonjak akses ke pasaran global

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 88 peratus atau 569,360 daripada 647,000 usahawan Bumiputera di Malaysia masih berada pada tahap mikro, sekali gus menekankan keperluan mendesak usaha meningkatkan daya saing dan kebolehcapaian ke pasaran antarabangsa.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman berkata, cabaran sebenar adalah mengangkat majoriti usahawan mikro ke tahap persaingan global.

“MARA kini menggerakkan keseluruhan ekosistem termasuk latihan, pembiayaan serta pembangunan pasaran bagi memastikan mereka mampu bersaing di luar negara.

“Melalui pelaksanaan bersepadu ini, MARA yakin lebih ramai usahawan Terengganu akan muncul sebagai pemain serantau dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) Peringkat Negeri Terengganu 2024–2025 di sini, semalam.

Di Terengganu sahaja, daripada 37,598 usahawan Bumiputera, sebanyak 33,086 (88%) adalah usahawan mikro, 4,512 (12%) usahawan kecil, manakala hanya 451 (1%) usahawan berskala sederhana.

Sehingga 31 Oktober 2025, seramai 1,264 usahawan negeri telah menerima pelbagai kemudahan MARA dengan nilai keseluruhan RM40 juta, merangkumi latihan, bimbingan, pembiayaan dan khidmat pakar perunding.

Usahawan MARA
Sebahagian penerima anugerah bergambar bersama Zulfikri pada acara tersebut.

Zulfikri menegaskan MARA Terengganu kini menumpukan kepada tiga teras utama iaitu Gate To Global, Program Industri Gaya Hidup dan Transformasi Premis Perniagaan yang disasarkan mampu meningkatkan imej serta kapasiti usahawan setanding standard antarabangsa.

Majlis AURA 2024–2025 turut menyaksikan 12 usahawan terpilih daripada 65 pencalonan dan 32 penyertaan aktif menerima pengiktirafan dalam pelbagai kategori termasuk Industri Gaya Hidup, Automotif, Perkhidmatan, Pembinaan, Makanan & Minuman, Usahawan Inspirasi Wanita, Usahawan TVET, Lepasan IPMA, Usahawan Wakaf MARA Madani serta Jenama Terbaik.

Anugerah utama Tokoh Usahawan MARA diberikan kepada Noor Arfa Holding Sdn. Bhd., syarikat yang terkenal dengan pengeluaran dan pengedaran batik Terengganu buatan tangan eksklusif, meliputi reka bentuk, pengeluaran dan penjualan pelbagai produk batik serta sutera.

Usahawan MARA
Noor Arfa Holding Sdn Bhd dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Usahawan MARA Negeri Terengganu pada majlis tersebut.

Kejayaan itu mencerminkan kekuatan jenama tempatan yang mampu mengekalkan keaslian warisan sambil memenuhi permintaan pasaran premium.

Program AURA menjadi platform berprestij MARA untuk menonjolkan ketahanan, inovasi dan kebolehpasaran usahawan Bumiputera daripada peringkat tempatan hingga global, sejajar dengan visi MARA untuk membawa usahawan tempatan menembusi segmen pasaran antarabangsa bernilai tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button