BERITA SEMASA

Jangan tolak tawaran MRSM kerana faktor kemiskinan – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa ibu bapa dan pelajar agar tidak menolak tawaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) semata-mata kerana kekangan kewangan.

Beliau memberi jaminan bahawa MARA dan pihak pengurusan MRSM bersedia membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan termasuk menerusi penyediaan Bantuan Khas BUDI MARA.

“Tolong jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan. Saya sudah minta pengurusan MARA dan MRSM agar bantu mereka yang susah.

“Bantuan Khas BUDI MARA juga ada disediakan,” katanya dalam dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, perkara itu dizahirkan susulan makluman mengenai sebuah keluarga kurang berkemampuan di Pasir Mas, Kelantan yang hampir menolak tawaran ke MRSM Jeli kerana bimbang dengan kos perbelanjaan sepanjang tempoh persekolahan.

Menurut beliau, bapa kepada pelajar berkenaan tidak lagi bekerja selepas terlibat dalam kemalangan, manakala ibunya hanya seorang suri rumah dengan empat orang anak yang masih bergantung sepenuhnya kepada keluarga.

“Pagi ini saya dihubungi oleh seorang kenalan memaklumkan situasi keluarga tersebut. Mereka baru menerima tawaran ke MRSM Jeli, namun terpaksa berkira-kira untuk menolak kerana memikirkan kos awal dan perbelanjaan sepanjang belajar,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu beliau segera menghubungi Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hariri Mohamed Noor bagi membantu menampung perbelanjaan awal pelajar berkenaan.

“Selebihnya, Insya-Allah, saya dan MARA akan bantu,” katanya.

BUDI MARA adalah inisiatif keprihatinan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu yang memfokuskan bantuan penuh persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan daripada keluarga B40.

Program itu memberi peluang sama rata kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan terbaik di MRSM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button