Dr Asyraf Wajdi salur pampasan fitnah RM50,000 ke akaun Wakaf MARA
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan menyalurkan wang pampasan sebanyak RM50,000 yang diterima daripada kes saman fitnah ke akaun Wakaf MARA bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan komitmennya sebelum ini untuk tidak menggunakan wang berkenaan bagi kepentingan peribadi.
“Sebagaimana janji saya, setiap sen RM50,000 wang ganti rugi tidak akan sesekali digunakan secara peribadi.
“Bahkan saya sudah minta pengurusan MARA untuk memasukkan wang ganti rugi apabila diterima nanti ke dalam akaun Wakaf MARA untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, daif dan anak yatim,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan Mahkamah Tinggi Melaka telah merekodkan Penghakiman Persetujuan dalam kes berkenaan.
Menurutnya, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengakui kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini adalah tidak benar serta berunsur fitnah terhadap beliau dan MARA.
BACA JUGA:
Mas Ermieyati setuju bayar ganti rugi kepada MARA – Asyraf Wajdi
Dalam penyelesaian kes itu, defendan turut bersetuju untuk memohon maaf secara bertulis, menarik balik serta memadamkan semua hantaran video di platform media sosial, selain membayar ganti rugi sebanyak RM50,000.
“Alhamdulillah, moga ini menjadi pengajaran berguna kepada semua agar bertanggungjawab dan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi dan institusi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan Peguam MARA.
“Diketuai oleh Datuk Adnan Seman dan seluruh pegawai MARA yang berjuang untuk memastikan agar institusi penting orang Melayu dan Bumiputera terus kekal berintegriti dan terpelihara daripada sebarang fitnah yang membinasakan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








