BERITA SEMASA

Anak tunggal pakcik Ah Yauddin, isteri ditawar ikuti pengajian di GiatMARA – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Anak tunggal kepada pasangan suami isteri, Ah Yauddin Ahmad dan Roslina Yusof yang kisah kehidupan mereka tular di media sosial ditawarkan untuk mengikuti pengajian ke GiatMARA dalam bidang konfeksioneri dan bakeri.

Tawaran itu diberikan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas melawat keluarga tersebut di kediaman mereka di Meru, Kapar dekat sini hari ini.

 

“Nampak raut wajah kesedihan Siti Nuralia, 21 tahun antara pengharapan dan kebimbangan melalui kata-kata yang diungkapkan tatkala saya menawarkan untuk beliau menyambung pengajian dalam bidang konfeksioneri dan bakeri di GiatMARA yang berhampiran dengan kediamannya di Meru, Kapar.

“Beberapa hari lalu ramai yang tag saya di media sosial perihal keluarga Ah Yauddin yang berniaga air balang di Pasar Malam Lembah Pantai. Kisah yang cukup menyayat hati bagaimana kecekalan seorang suami sanggup menggendong isteri yang sakit akibat stroke dari kediamannya di tingkat empat di sebuah rumah flat di Meru setiap Sabtu untuk dibawa bersama berniaga di Pasar Malam Pantai Dalam,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman media sosialnya.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menziarahi pasangan suami isteri, Ah Yauddin Ahmad dan Roslina Yusof di kediaman mereka di Meru hari ini.

Katanya, ketika hadir menziarahi keluarga itu pihaknya turut membawa doktor-doktor dari rangkaian klinik usahawan MARA iaitu UnI Klinik dan UnI Farmasi untuk membuat pemeriksaan kesihatan isterinya dan juga suaminya yang turut menderitai penyakit buah pinggang tahap empat.

“Saya terus menawarkan kepada anaknya Nuralia untuk menyambung pengajian dalam bidang Konfeksioneri dan Bakeri di GiatMARA Klang. Belajar di GiatMARA secara percuma selama enam ulan beserta elaun bulanan RM200.

“Selain itu juga MARA akan bantu untuk adik Alia menjadi usahawan dengan mendapatkan Geran Perniagaan di bawah Kementerian Desa Dan Wilayah berupa mesin dan peralatan membuat roti dan kek bernilai RM6,000,” katanya.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menziarahi pasangan suami isteri, Ah Yauddin Ahmad dan Roslina Yusof di kediaman mereka di Meru hari ini.

Selain itu katanya, MARA juga akan membantu menawarkan kursus jangka pendek untuk mempersiapkan Alia sebagai usahawan digital yang mampu memanfaatkan platform media sosial seperti tiktok untuk berniaga.

“Saya percaya hanya ilmu dan kemahiran sahaja boleh merubah kehidupan. Tidak selamanya harus bergantung kepada sumbangan orang ramai ataupun zakat.

“Sebab itulah MARA lebih terdorong untuk membantu keluarga ini dengan memberikan kail dan melatih bagaimana menggunakan kail untuk memancing bagi kelestarian hidup mereka berbanding memberikan ikan yang hanya dapat dinikmati buat seketika waktu sahaja,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button