BERITA SEMASA

Anak yatim manfaatkan bantuan MARA, raih 9A SPM

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar miskin berstatus anak yatim tidak mensia-siakan peluang yang diberi menerusi program Budi Majlis Amanah Rakyat (MARA) apabila berjaya meraih 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dua tahun lalu, kisah sedih Puteri Nur Ain Zulaikha pernah mendapat perhatian Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Melalui satu hantaran di Facebook, Asyraf Wajdi menceritakan pelajar tersebut berdepan kesukaran hidup selepas ayahnya meninggal dunia.

Tangkap layar video yang memaparkan perbualan Asyraf Wajdi bersama Puteri Nur Ain Zulaikha.

Perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh seorang wartawan Bernama Kelantan, Habsah.

“Dr, boleh tak bantu seorang anak yatim nak masuk MRSM. Dia pelajar cerdik tapi miskin,” tulis Asyraf Wajdi mengimbau peristiwa itu.

Menurutnya lagi, pelajar berkenaan terpaksa berpindah-randah dari satu penjaga ke satu penjaga, sebelum menetap bersama abang angkat dan isterinya yang bekerja sebagai penjual ikan.

Tersentuh dengan nasibnya, beliau kemudian menempatkan Puteri Nur Ain Zulaikha Asyraf di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pengkalan Chepa dengan bantuan penuh termasuk wang saku bulanan di bawah program Budi MARA.

“Saya amat terharu apabila menerima berita bahawa pelajar ini telah memperoleh keputusan yang amat cemerlang dalam SPM,” katanya.

Beliau turut memaklumkan telah bercakap sendiri dengan Puteri Nur Ain Zulaikha dengan bantuan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, yang menyampaikan sumbangan dan menaja tiket penerbangan buat pelajar itu serta penjaganya ke Kuala Lumpur.

Mereka dijadualkan hadir ke Program Taklimat Peluang Pengajian MARA bersama pelajar cemerlang MRSM B40 dari seluruh negara.

Asyraf Wajdi turut memberi komitmen peribadi bahawa MARA akan terus membimbing dan membiayai pengajian Puteri Nur Ain Zulaikha sehingga ke peringkat lebih tinggi, termasuk ke luar negara dalam bidang strategik.

“Hanya ilmu sahaja yang boleh merubah dan mengangkat martabat kehidupan seseorang.

“Insya-Allah, amanah bangsa dan agama yang saya galas melalui MARA ini akan saya laksanakan sebaiknya untuk membantu lebih ramai yang cemerlang dari kalangan mereka yang miskin dan berpendapatan rendah,” tegasnya

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button