BERITA SEMASA

6 pelajar MRSM digantung, dicadang buang sekolah tanpa rayuan – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Enam pelajar Tingkatan Lima di salah sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Melaka digantung serta dicadangkan untuk dibuang sekolah tanpa sebarang ruang rayuan selepas terbabit dalam insiden buli.

Demikian tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui satu hantaran di Facebook hari ini.

Tangkap layar hantaran di Facebook Asyraf Wajdi mengenai kes buli MRSM di Melaka hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu diambil sebagai mesej jelas bahawa MARA tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk perlakuan buli di institusi pendidikannya.

“Pagi-pagi lagi ramai yang tag saya tentang insiden buli ini. Saya terus minta laporan daripada pihak pengurusan MARA.

“Enam pelajar Tingkatan Lima terbabit akan digantung dan dicadangkan untuk dibuang. Tak perlu merayu. #YouTouchYouGo,” katanya.

Dr Asyraf menegaskan bahawa beliau sudah mengarahkan agar sebarang rayuan tidak dilayan dan tiada pihak perlu berjumpa beliau untuk merayu.

“Saya sudah tegaskan kepada pihak pengurusan MARA, jangan dilayan sebarang rayuan. Tak perlu jumpa saya. MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk buli.

“Kita mahu lahirkan generasi pemimpin yang berakhlak dan beradab, bukan petualang yang merosakkan nilai keagamaan dan ketamadunan,” katanya lagi.

Beliau turut menyuarakan iltizam untuk menjadikan semua institusi pendidikan MARA sebagai zon bebas buli.

Sikap tegas MARA itu mendapat reaksi positif netizen yang menyambut baik langkah berani tersebut, malah ada yang berkongsi pengalaman sendiri sebagai mangsa buli semasa di sekolah dahulu.

BACA : MARA akan hapuskan budaya buli sehingga ke akar umbi – Asyraf Wajdi

“Terbaik DAWD. Saya mangsa buli sekarang berumur 42 tahun. Sampai sekarang saya masih berdendam dan sukar maafkan orang yang buli saya. Saya puji cara DAWD hapuskan budaya buli di sekolah ini. Teruskan Datuk!” komen Farhan Shukry.

“Untuk membentuk karakter karamah insaniah, ketegasan dengan keputusan aalah faktor penting. Moga anak-anak ini sedar dan tahu Kesilapannya,” tulis Rosida Ibrahim pula.

Setakat ini, hantaran tersebut berjaya meraih 21,000 reaksi, 2,900 komen dan 2,800 perkongsian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button