34 MRSM diarah laksana PDPR susulan penularan influenza
KUALA LUMPUR – Sebanyak 34 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) susulan peningkatan kes jangkitan influenza dalam kalangan pelajar.
Langkah itu diambil selepas setiap maktab terbabit merekodkan lebih 50 kes jangkitan, sekali gus mendorong Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setakat ini seramai 2,724 pelajar MRSM di seluruh negara dikenal pasti dijangkiti virus berkenaan.
“Sejak penularan kes berlaku, pengurusan MARA sudah mengarahkan semua pengetua MRSM mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terjamin.
“Antara langkah yang dilaksanakan termasuk memberikan rawatan segera kepada pelajar yang mempunyai simptom influenza di klinik kesihatan atau hospital, mengasingkan pelajar yang sakit daripada yang sihat serta memastikan pemakaian pelitup muka,” katanya memetik laporan BH.
Beliau berkata, MARA turut mengarahkan semua MRSM membekalkan air masak mencukupi kepada pelajar, menangguhkan sementara semua aktiviti luar serta berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mematuhi nasihat kesihatan yang diberikan.
“Keutamaan utama MARA ialah kebajikan dan keselamatan semua warga maktab.
“Justeru, semua langkah pencegahan sedang dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan jangkitan ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








