Muafakat MRSM Sungai Besar anggap tuduhan Rita Rudaini fitnah, buat laporan polis, MCMC
CYBERJAYA – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (Muafakat) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam dekat sini menyifatkan tuduhan yang dilemparkan selebriti Rita Rudaini sebagai fitnah yang boleh menjejaskan nama baik organisasi itu.
Yang di-Pertua Muafakat, Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor menegaskan, pihaknya sudah membuat laporan polis dan akan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi melindungi reputasi pertubuhan serta ahlinya.
“Tuduhan melulu sebegini bukan sahaja tidak berasas malah tidak mencerminkan semangat kebersamaan demi kepentingan anak-anak kita. Ia satu fitnah yang boleh merosakkan imej organisasi dan individu,” katanya kepada Malaysia Tribune, hari ini.
Beliau berkata, laporan tersebut juga dibuat atas sebab tuduhan berulang terhadap ahli jawatankuasa yang dipilih secara demokratik di media sosial sejak Mesyuarat Agung diadakan Mei lalu.
Terdahulu, Rita di Instagram Stroy miliknya memuat naik dakwaan bahawa pihak Muafakat Sungai Besar kerap mengutip dana tanpa sebarang perbincangan bersama pihak ibu bapa berhubung perancangan program selain mempertikaikan ketelusan perbelanjaan selain menyekat suara ibu bapa.
Mengulas dakwaan itu, Roslan menegaskan segala perbelanjaan telah dibentangkan secara telus dalam mesyuarat tahunan, manakala program yang dirancang sentiasa berpandukan takwim sekolah.
“Mereka seharusnya faham, sebagai permuafakatan ibu bapa, kita tiada hak untuk memaksa atau mengarahkan pihak sekolah yang pastinya mempunyai takwim tersendiri.
“Kita akan mencadangkan kepada pihak sekolah mana-mana program atau aktiviti yang memanfaatkan anak-anak kita.
“Namun pihak pengurusan mempunyai kata pemutus akhir sama ada aktiviti tersebut boleh dilaksanakan atau tidak bergantung kepada takwim sekolah yang telah ditetapkan,” katanya lagi.
Menurut Dr. Mohd Roslan, penganjuran aktiviti di luar sekolah boleh dicadangkan kerana ia memberi manfaat untuk menaikkan imej sekolah namun ada pengecualian sekiranya melibatkan waktu peperiksaan.
“Kita buka ruang perbincangan termasuk dengan penglibatan pihak sekolah selaku pihak yang lebih arif mengenai prosedur dan perjalanan takwim, namun pihak yang membuat tuduhan liar enggan berjumpa dengan kami.
“Ruang berbincang sentiasa terbuka dan kita boleh juga libatkan pihak sekolah yang lebih arif mengenai pengurusan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















