‘Penggera’ gelas pada tombol punca rumah disangka dimasuki pencuri
MELAKA – Taktik meletakkan gelas kaca pada tombol pintu sebagai ‘penggera keselamatan’ mencetuskan panik apabila ia jatuh disebabkan oleh gegaran daripada bunyi kuat enjin kereta milik jiran.
Bunyi gelas yang terjatuh dan pecah itu menyebabkan sebuah keluarga di Taman Desa Bertam di sini panik kerana menyangka rumah mereka dimasuki pencuri.
Kejadian itu sebelum ini tular di media sosial yang memaparkan beberapa orang ahli keluarga berlari keluar dari rumah dalam keadaan cemas dan menjerit meminta pertolongan dari jiran.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asistan Komisioner Christopher Patit berkata, hasil siasatan di lokasi mendapati tiada sebarang tanda berlakunya kejadian jenayah.
Menurutnya, gelas kaca yang diletakkan pada tombol pintu sebagai langkah keselamatan itu pecah akibat gegaran daripada bunyi enjin kenderaan yang kuat.
“Pengadu yang bertugas di Pusat Kawalan Daerah menerima panggilan orang awam memaklumkan rumah jirannya disyaki dimasuki pencuri sebelum laporan dibuat sebagai maklumat pertama.
“Pemeriksaan mendapati rumah separa berkembar dua tingkat itu dilengkapi CCTV di bahagian luar, namun tiada petunjuk berlaku pencerobohan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata, keluarga berkenaan sebelum itu keluar dari rumah pada pukul 9 malam dan meletakkan gelas kaca di tombol pintu dapur sebagai ‘penggera’ sekiranya berlaku pecah masuk.
“Sebaik pulang pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam, mereka terdengar bunyi kaca pecah lalu keluar semula kerana mengesyaki ada individu di dalam rumah dan meminta jiran menghubungi polis.
“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati tiada kesan umpil pada pintu atau tingkap, manakala keadaan dalam rumah juga tidak menunjukkan tanda-tanda digeledah,” katanya.
Tambah beliau, rakaman CCTV yang disangka memaparkan individu mencurigakan sebenarnya adalah jiran di kawasan berhampiran.
Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan tiada suspek dikenal pasti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















