Rutin cium tangan ayah jadi ‘pelindung’ nahas bas UPSI
JERTEH – Rutin penuntut Institusi Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersalam dan mencium tangan ayahnya setiap kali sebelum pulang ke kampus menjadi ‘pelindung’ daripada terlibat dalam nahas yang mengorbankan 15 nyawa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Tasik Banding, awal pagi tadi.
Nur Adilah Mohd Rusdi, 21, yang sepatutnya menaiki bas yang sama terlepas daripada tragedi itu apabila terlewat tiba di tempat berkumpul kerana menunggu kepulangan ayahnya yang keluar bersolat di masjid.
Katanya, kelewatan tiba di tempat berkumpul di Masjid Hadhari, Jertih itu menyebabkan dia terlepas peluang menaiki bas berkenaan sekaligus menyelamatkannya daripada nahas itu.

“Biasanya bas akan bertolak sedikit lewat dan saya pula memang menunggu ayah pulang dari masjid untuk cium tangan.
“Semasa tiba di lokasi menaiki bas, kami dimaklumkan bas sudah bergerak kira-kira 20 minit dan saya terlepas bas,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni itu.
Dia berkata, selepas ditinggalkan bas, dia dan ayahnya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah kerana masih berpeluang menumpang bapa saudaranya yang mahu pulang ke Kuala Lumpur tengah malam itu.
Nur Adilah berkata, dia kemudian dimaklumkan mengenai kemalangan itu sekitar pukul 4 pagi dan terkejut kerana dia sepatutnya berada dalam bas berkenaan.
Walaupun terlepas daripada tragedi itu, dia mengakui sedih apabila mengetahui kemalangan itu mengorbankan ramai rakan-rakan sepengajiannya.
Dalam kemalangan melibatkan bas sewa khas untuk pelajar UPSI dengan sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza awal pagi tadi, 15 dilaporkan maut termasuk kelindan bas.
Mereka yang terkorban berusia antara 21 hingga 23 tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








