Isu masuk IPTA guna ‘pintu belakang’: ADUN Jitra mengaku tidak bersalah cetus kebimbangan awam
SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang awam berhubung kenyataan berkaitan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Tertuduh yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, Haim Hilman, 53, didakwa dengan niat menimbulkan kebimbangan awam sehingga mendorong kemungkinan berlaku pelanggaran ketenteraman awam.
Kenyataan yang menjadi asas pertuduhan itu antara lain menyentuh dakwaan bahawa wujud amalan ‘pintu belakang’ dalam kemasukan ke IPTA serta isu ketidakseimbangan peluang berdasarkan kemampuan kewangan keluarga.
Antara petikan kenyataan yang disebut dalam pertuduhan ialah dakwaan bahawa tempat di universiti ‘dijual kepada mereka yang berkemampuan’ serta pelajar tidak layak diterima melalui saluran merit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 8 malam hingga 12 tengah malam di Markas PAS Seremban pada 13 Jun 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Harun mencadangkan jaminan RM10,000 dengan syarat tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, pihak pembelaan yang diketuai peguam, Mohd Fauzi Che Abu membantah jumlah jaminan tersebut dan mencadangkan RM5,000 tanpa syarat tambahan.
Menurutnya, permohonan menyerahkan pasport adalah tidak wajar kerana anak guamnya mempunyai komitmen tugas sebagai EXCO dan ADUN yang sering melibatkan urusan rasmi di luar negara.
Pihak pembelaan turut berhujah bahawa tertuduh hadir ke mahkamah secara sukarela bagi membersihkan namanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tanpa syarat tambahan dan menetapkan 30 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sebelum ini, Haim Hilman didakwa mengeluarkan kenyataan dalam satu ceramah umum yang dikatakan mencetuskan kebimbangan awam berkaitan dakwaan ketidaktelusan kemasukan ke IPTA.
Antara kenyataan yang dikeluarkan adalah ‘Apa berlaku di IPTA hari ini? Universiti sedang menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit. Hari ini ada satu pintu masuk kat IPTA, pintu belakang, UPU dia tak layak, UPU dia tak sampai tahap ikut merit dia kalah. Tapi ayah dia orang kaya, keluarga dia ada duit’.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini dilapor menegaskan dakwaan berkenaan adalah serius dan berpotensi menjejaskan kredibiliti sistem pendidikan tinggi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




