Pesara mengaku tidak bersalah hina mahkamah di Facebook
SEPANG – Seorang pesara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang, di sini pada hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi jelik berkaitan institusi kehakiman menerusi aplikasi Facebook, Disember lalu.
Tertuduh, Idris Mohamad membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa pada 22 Disember 2025 kira-kira jam 10.50 pagi menggunakan akaun Facebook “Idris Mohamad” untuk secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau.
Antara kandungan hantaran tersebut “Mahkamah tak bebas di bawah Kerajaan Madani! Mahkamah sanggup perintah derhaka kepada YDPA.”
Komunikasi itu didakwa dibuat dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan telah dilihat pada 23 Disember 2025 kira-kira jam 3 petang di Aras 8, MOMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya, dalam daerah Sepang, Selangor.
Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak bekerja merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan menanggung isteri yang sedang sakit serta mempunyai dua tanggungan.
“Saya tidak bekerja dan isteri saya tidak sihat,” katanya lagi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








