AGAMABERITA SEMASA

MACMA Negeri Sembilan anjur program Dakwah Santai & Picnic sempena raikan Hari Malaysia

SEREMBAN – Sempena cuti Hari Malaysia semalam, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Negeri Sembilan dengan kerjasama Masjid Muhammad Al-Fateh, Forest Height telah menganjurkan Program Dakwah Santai & Picnic yang berjaya menghimpunkan masyarakat Islam dan bukan Islam dalam suasana harmoni serta penuh mesra.

Bendahari MACMA Negeri Sembilan, Eelin Tan berkata, program itu bertujuan memberi ruang kepada masyarakat untuk memahami Islam melalui pendekatan santai, terbuka dan berhemah di samping mengeratkan ukhuwah sesama Muslim.

Dakwah Hari Malaysia
Para peserta dibawa menziarahi kubur orang Islam dan diberi penerangan tentang kehidupan roh selepas kematian.

“Program bermula sejurus solat Asar dengan aktiviti ziarah kubur. Peserta bukan Islam diberikan penerangan oleh pemandu Mosque Tour Guide (MTG), Syed Farouk Syed Abu Bakar Almohdzar berhubung perjalanan roh dan kaedah pengurusan jenazah dalam Islam.

“Sesi tersebut berlangsung penuh interaktif apabila ramai peserta bukan Islam mengajukan soalan, mencerminkan minat mereka untuk memahami lebih mendalam mengenai amalan umat Islam,” ujar Eelin.

Tambah beliau, rombongan seterusnya dibawa ke Masjid Muhammad Al-Fateh bagi sesi Mosque Tour.

“Peserta bukan sahaja diberi taklimat mengenai seni bina dan fungsi masjid, malah turut diajar amali mengambil wuduk.

“Maklumat tambahan turut diberikan melalui risalah selain beberapa peserta menyatakan minat untuk memiliki senaskhah al-Quran terjemahan bahasa Cina sebagai bahan bacaan,” katanya lagi.

Dakwah Hari Malaysia
Syed Farouk menyampaikan taklimat pada sesi Mosque Tour kepada para peserta.

Menariknya, kali ini program turut disertai tujuh pelajar dari China yang sedang mengikuti pengajian agama Islam di Malaysia.

Kehadiran mereka menambahkan warna dalam sesi perkongsian ilmu dan pengalaman.

Selepas sesi pembelajaran, peserta menikmati jamuan makan malam secara santai.

Kanak-kanak pula memeriahkan suasana dengan aktiviti mewarna khemah mini bertemakan kemerdekaan.

Program diteruskan dengan tayangan filem Jurassic World Rebirth yang ditayangkan secara sah melalui pembelian di Apple TV sehingga pukul 11 malam.

Dakwah Hari Malaysia
Sebahagian peserta yang mengikuti tayangan filem di pekarangan masjid.

Penganjur menyatakan rasa syukur atas kejayaan program yang bukan sahaja memperkukuh ukhuwah sesama Muslim, malah membuka ruang interaksi harmoni dengan masyarakat bukan Islam.

“Antara maklum balas yang menarik ialah minat peserta untuk mengetahui lebih lanjut mengenai amali mandi jenazah.

“Insya-Allah, ia akan dimasukkan dalam siri program akan datang,” kata Eelin.

Program Dakwah Santai & Picnic ini sekali gus menzahirkan semangat kebersamaan sempena sambutan Hari Malaysia dengan mesej bahawa dakwah yang disampaikan secara santai mampu menyentuh hati dan mencetuskan kefahaman yang lebih mendalam terhadap agama Islam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button