BERITA SEMASAPMX

PM seru rakyat perkukuh semangat perpaduan sempena Hari Malaysia

KUALA LUMPUR – Semangat kebersamaan rakyat pelbagai kaum dan wilayah yang berpadu dalam sebuah negara bangsa perlu terus diperkukuh bagi memastikan Malaysia kekal teguh serta bermaruah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan Malaysia berakar daripada rakyat yang mengangkat nilai kemanusiaan, keadilan dan solidariti, selain ditunjangi institusi kenegaraan serta pentadbiran berwibawa.

Dalam perutusan sempena Hari Malaysia, beliau mengingatkan tanggal 16 September setiap tahun menjadi peringatan kepada sejarah penyatuan wilayah berbeza latar dan budaya ke dalam satu cita nasional bernama Malaysia.

“Hari besar negara ini adalah lambang serta tekad leluhur yang berani menyanggah penjajahan, melasah segala bentuk penyimpangan dan menjunjung tegas maruah bangsa dalam sebuah kesatuan yang rencam tapi berpadu.

“Ini harinya di mana kita terus-terusan memperbaharui tekad dalam meraikan kerencaman itu sebagai rahmat yang memperkukuh asas persaudaraan.

“Negara ini ditegakkan dengan darah, keringat dan air mata generasi terdahulu yang menyalakan obor kebebasan. Amanah kita hari ini adalah memastikan obor itu terus menyemarak sebagai panduan menempuh cabaran era baharu,” katanya di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyeru rakyat menzahirkan sambutan Hari Malaysia dengan memperkukuh iltizam dan cita murni.

“Rakyat seharusnya komited kepada sebuah kerangka yang menjunjung maruah insan, menolak kebejatan, menjauhi perpecahan dan menjadikan Malaysia contoh kepemimpinan yang berwibawa di rantau ini dan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia mesti terus ditampilkan sebagai sebuah negara adil, makmur dan madani yang diwariskan kepada generasi akan datang sebagai negara bangsa yang teguh serta bermaruah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button