BERITA SEMASA

Negara stabil, kini masa sesuai melabur di Malaysia – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekarang adalah masa yang sesuai untuk melabur di Malaysia berdasarkan petunjuk ekonomi dan pelbagai dasar jangka panjang yang telah diperkenalkan.

Perdana Menteri berkata, ini termasuklah melalui Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Ketika sesi Fireside Conversation tersebut, saya ditanya pelbagai soalan mencakupi isu kestabilan politik dalam negara hingga ke kebijakan dan pengarahan baharu Kerajaan Perpaduan dalam soal memacu pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh jangka panjang.

“Saya jelaskan kepada lebih 400 hadirin yang kebanyakannya adalah pelabur bahawa tidak berbangkit isu kestabilan politik,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosial rasminya.

Terdahulu Anwar memenuhi undangan bagi sesi perbualan tengah hari anjuran badan pemikir Milken Institute yang turut menganjurkan Asia Summit 2023 di Singapura.

Perdana Menteri itu hadir dalam persidangan selama tiga hari dengan menghimpunkan peneraju industri dan pembuat dasar daripada rantau Asia.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau juga sempat bertemu dengan 22 orang usahawan, ketua organisasi pelaburan dan perbankan di Asia.

“Saya turut diapit oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

“Saya memberi pemahaman kepada mereka terutamanya dalam perkara terkait dengan dasar fiskal negara dan makna kelestarian dari perspektif Malaysia Madani yang mencakupi pelbagai sudut.

“Mereka juga mendapatkan pandangan saya berkaitan isu dan arah tuju ASEAN terutamanya dalam bidang integrasi ekonomi dan teknologi. Saya simpulkan bahawa Malaysia memberi fokus kepada melengkapi serta memberi nilai tambah pertumbuhan ekonomi dan sosial bersama negara-negara jiran,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button