JENAYAH & MAHKAMAH

Pertarungan akhir Syed Saddiq di Mahkamah: Pihak pendakwaan mahu sabitan dikembalikan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kembali ke Mahkamah Persekutuan hari ini bagi menghadapi peringkat akhir prosiding kes rasuahnya, selepas pihak pendakwaan berusaha mengembalikan semula sabitan dan hukuman yang pernah dijatuhkan ke atasnya.

Pendakwaan diketuai Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang dijangka mengemukakan hujahan mengapa Mahkamah Tertinggi perlu memulihkan hukuman asal yang ditetapkan iaitu penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan.

Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu membatalkan sabitan berkenaan setelah mendapati mahkamah tersilap dalam menilai keterangan serta elemen undang-undang yang diperlukan bagi membuktikan pertuduhan terhadap Syed Saddiq.

Prosiding selama dua hari, bermula hari ini sehingga esok akan menyaksikan panel hakim meneliti rayuan penuh pihak pendakwaan sebelum keputusan dijangka diumumkan pada hari terakhir atau pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Dalam petisyen rayuan, pihak pendakwaan berhujah bahawa Mahkamah Rayuan tersilap dari segi undang-undang dan fakta apabila membuat dapatan bahawa pendakwaan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menekan saksi utama, bekas Penolong Bendahari Bersatu, Rafiq Hakim Razali, untuk memberikan keterangan yang memenuhi kehendak SPRM.

Wan Shaharuddin juga mendakwa mahkamah lebih rendah tersilap apabila menerima tanggapan bahawa SPRM dan pendakwa raya memanipulasi Rafiq hingga keterangannya ditolak, sedangkan pembelaan Syed Saddiq menurutnya hanya merupakan alasan lewat dan penafian tanpa asas kukuh, lapor BH Online

Syed Saddiq sebelum ini didakwa bersubahat dengan Rafiq dalam kes pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan RM1 juta dana Armada ketika beliau memegang jawatan Ketua Armada Bersatu pada 2021.

Beliau juga berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE), selain dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 melalui pemindahan ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan pendakwaan ini bakal menentukan hala tuju terakhir kes berprofil tinggi tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button