Keputusan Syed Saddiq kekal bebas atau dipenjara diketahui hari ini
PUTRAJAYA – Keputusan sama ada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan terus bebas atau diperintahkan menjalani hukuman penjara akan ditentukan hari ini.
Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Keputusan itu dijangka diumumkan pada pukul 9 pagi oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Rayuan berkenaan telah didengar selama dua hari sebelum kedua-dua pihak menamatkan penghujahan di hadapan panel tersebut pada 12 Disember 2025.
Sepanjang prosiding rayuan, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Pada prosiding rayuan akhir itu, dalam keadaan yang jarang berlaku, Abu Bakar memberikan tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan selepas penghujahan selesai.
Beliau yang mengetuai panel berkenaan berkata, pihak pendakwaan perlu mengadakan perbincangan sebelum memaklumkan pendirian sama ada mahu meneruskan rayuan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, pada 17 Disember 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi sepucuk surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan bahawa Peguam Negara mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan rayuan tersebut serta akan menerima apa jua keputusan yang diputuskan mahkamah.
Sebelum ini, pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada keempat-empat pertuduhan selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Sehari selepas keputusan itu, AGC memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu merupakan Penolong Bendahari Armada bagi melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.
Beliau juga didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Syed Saddiq turut berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan transaksi pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.
Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda sebanyak lima kali ganda nilai transaksi terbabit, jika disabitkan kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















