Kerajaan pantau rapi 6 kapal Malaysia di Selat Hormuz
REMBAU – Kerajaan terus memantau rapi pergerakan enam buah kapal Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz susulan perkembangan terkini di Iran.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini hanya sebuah kapal berjaya keluar ke perairan antarabangsa dengan selamat.
“Sekarang, kapal kita tak boleh lalu kerana Selat Hormuz ditutup sepenuhnya walaupun kelulusan untuk kapal kita lalu dah diberi.
“Setakat ini hanya satu kapal selamat keluar dan kini menuju kilang penapisan minyak di Pengerang, Johor… ada enam lagi terkandas, kita tengok macam mana dan akan terus memantau,” katanya, petang tadi.
Mohamad seterusnya berkata, kesemua enam kapal berkenaan dijangka dibenarkan melalui laluan itu secara berperingkat oleh kerajaan Iran.
Terdahulu, sebuah kapal milik Malaysia yang memuatkan kira-kira satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy dilaporkan berjaya keluar dari Selat Hormuz 2 Mac lalu dan ia dijangka berlabuh di Pengerang, Johor bulan ini untuk proses pemunggahan.
Kapal disewa oleh Petco, unit kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) itu antara tujuh kapal Malaysia yang diberikan kebenaran melalui selat berkenaan.
Ketika diminta mengulas mengenai sindiran halus bekas Ahli Parlimen Dilantik (NMP) Singapura, Calvin Cheng kerana Malaysia berunding dengan Iran bagi mendapatkan laluan selamat di Selat Hormuz, Mohamad berkata setiap negara yang merdeka mempunyai kepentingan strategik mengikut keutamaan masing-masing, begitu juga Malaysia.
“Saya tak mahu komen panjang tentang itu, komen negara sendiri, jangan komen negara orang.
“Kita ada punya dasar luar dan semua negara yang merdeka berdaulat ada dasar luar masing-masing,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







