BERITA SEMASA

Malaysia gesa AS timbang semula tindakan sekat Selat Hormuz

REMBAU – Amerika Syarikat (AS) digesa supaya mempertimbangkan semula tindakan mereka untuk menyekat Selat Hormuz kerana tindakan sedemikian memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dunia.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, tindakan AS boleh dipersoal kerana ia boleh menghalang kapal dagang dan kargo daripada memasuki atau keluar dari kawasan Teluk Parsi yang boleh memberi kesan besar kepada bekalan tenaga global, lapor BH Online.

Beliau berkata, sebelum ini Iran bersetuju untuk membuka selat itu dengan syarat 10 perkara yang diajukan semasa rundingan di Islamabad dipersetujui AS.

“Jadi, saya tak tahu apa tujuan pihak Amerika untuk mengepung Selat Hormuz kerana mereka yang melaungkan supaya membawa negara Eropah membentuk kerjasama bagi membuka Selat Hormuz, tapi sekarang mereka nak mengepung selat itu pula.

“Secara tiba-tiba, Presiden Donald Trump, mengarahkan tentera untuk mengepung Selat Hormuz, tidak membenarkan apa juga kapal-kapal melaluinya. Tindakan ini akan memburukkan lagi keadaan bukan saja bekalan tenaga, tetapi juga baja ke seluruh dunia.

“Oleh itu, kita minta supaya mereka (AS) mempertimbangkan semula tindakan itu dan membuka apa jua bentuk kepungan supaya laluan dagang boleh lalu di sana,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, di sini hari ini.

Mohamad menambah, ketika ini semua kapal yang berada di Selat Hormuz tidak boleh bergerak melalui selat itu termasuk enam kapal milik Malaysia yang masih terkandas.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, pihak berkenaan sepatutnya mengadakan rundingan semula bagi mencari jalan terbaik.

Dalam masa yang sama, kata Mohamad, Malaysia turut meminta pihak Iran memikirkan supaya membenarkan kapal-kapal melalui Selat Hormuz demi kesejahteraan ummah.

“Peperangan antara AS-Israel dengan Iran itu adalah hak mereka tetapi dunia tidak boleh jadikan tebusan angkara tindakan mereka,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button