Pemansuhan AUKU: Proses reformasi perlu telus, libat suara mahasiswa
KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara bagi memperluas autonomi universiti, kebebasan akademik dan ruang mahasiswa disambut baik, namun proses reformasi itu perlu dilaksanakan secara telus dan melibatkan suara mahasiswa.
Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Haikal Nazhan Hamdan berkata, langkah pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) boleh menjadi titik penting dalam memperkukuh landskap pendidikan tinggi negara.

Bagaimanapun, katanya, mahasiswa wajar diberikan penjelasan yang jelas mengenai rasional pemansuhan AUKU serta masalah asas yang masih belum dapat diselesaikan menerusi pindaan terdahulu.
“Saya menyambut baik usaha kerajaan untuk melakukan reformasi terhadap pendidikan tinggi, khususnya sekiranya pemansuhan AUKU bertujuan memperluas autonomi universiti, kebebasan akademik dan ruang mahasiswa.
“Namun, pemansuhan AUKU secara keseluruhan perlu disertai justifikasi yang jelas,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurut Haikal, AUKU bukanlah akta yang statik kerana ia telah melalui beberapa pindaan bagi menyesuaikannya dengan perkembangan semasa.
Malah katanya, kerajaan masih mengambil pendekatan meminda AUKU pada 2024 bagi memperkukuh beberapa aspek pengurusan serta hak badan mahasiswa.
Justeru, beliau mempersoalkan perkara yang menyebabkan pendekatan sebelum ini berubah daripada ‘pinda dan tambah baik’ kepada ‘mansuh dan ganti’.
“Jika terdapat peruntukan yang sudah tidak relevan, nyatakan peruntukan tersebut. Jika terdapat kekangan terhadap mahasiswa, jelaskan kekangan yang masih wujud.
“Dan jika masalahnya bersifat fundamental sehingga keseluruhan AUKU perlu dimansuhkan, mahasiswa berhak mengetahui asas kepada keputusan tersebut,” katanya.
Pada masa sama, Haikal berpandangan reformasi perundangan pendidikan tinggi perlu dilihat dalam konteks jangka panjang bagi memastikan akta baharu yang bakal diperkenalkan tidak mengulangi kelemahan sama.
Katanya, pemansuhan AUKU seharusnya bukan sekadar pertukaran kepada undang-undang baharu, sebaliknya menghasilkan kerangka yang lebih kukuh, fleksibel dan mampu kekal relevan apabila landskap pendidikan tinggi berubah.
“Reformasi undang-undang bukan sekadar menukar akta. Reformasi adalah memastikan undang-undang yang dibina mampu menjawab keperluan semasa dan kekal relevan untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai pengumuman pemansuhan AUKU yang dibuat ketika Kongres Nasional PKR, namun menegaskan beliau tidak mendakwa keputusan itu mempunyai motif politik.
Bagaimanapun katanya, dalam keadaan keyakinan generasi muda terhadap politik semakin mencabar, tidak salah untuk masyarakat mempersoalkan sama ada pengumuman berkenaan merupakan agenda reformasi pendidikan tinggi semata-mata atau turut mempunyai dimensi politik.
“Yang lebih penting sekarang ialah apa yang akan menggantikan AUKU.
“Jika kerajaan benar-benar mahu memberikan autonomi dan kebebasan yang lebih besar kepada mahasiswa, maka mahasiswa mesti diberikan ruang yang bermakna dalam proses menggubal akta baharu tersebut,” katanya.
Haikal menegaskan mahasiswa tidak menolak reformasi yang sedang diusahakan kerajaan, sebaliknya mahu memastikan perubahan itu benar-benar membawa pembaharuan terhadap dasar pendidikan tinggi.
“Jangan hanya mansuhkan AUKU. Jelaskan masalahnya. Jelaskan penyelesaiannya. Libatkan mahasiswa dalam membina penggantinya.
“Kita tidak menolak reformasi. Kita cuma mahu memastikan reformasi yang dilakukan bukan sekadar menukar nama akta, tetapi benar-benar mengubah dasar dan memperkukuh masa depan pendidikan tinggi negara.
“Mahasiswa tidak memerlukan sekadar akta baharu. Mahasiswa memerlukan undang-undang yang lebih baik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








