BERITA SEMASA

KPKT lancar SOSMIC, langkah reformasi pengurusan sisa pepejal negara

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan Kursus Intelektual Pengurusan Sisa Pepejal (SOSMIC) sebagai teras kepada inisiatif untuk mereformasi pengurusan sisa pepejal negara.

Dilancarkan oleh Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Dr. M Noor Azman Taib, inisiatif itu menekankan komitmen KPKT untuk memperkukuh tadbir urus, integriti, dan kecekapan sektor pengurusan sisa pepejal negara.

SOSMIC merupakan kursus intelektual pertama dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dalam negara yang dibangunkan secara komprehensif oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT).

Inisiatif itu memberi tumpuan kepada peningkatan profesionalisme pemegang lesen, pemahaman perundangan dan pengukuhan standard industri selaras Akta 672 serta aspirasi Malaysia MADANI.

Program tersebut merangkumi lima modul teras iaitu latar belakang sistem pengurusan sisa pepejal negara, rangka perundangan, asas teknikal, tatacara permohonan lesen melalui sistem i-Lesen serta amalan terbaik industri.

Dengan peningkatan berterusan kadar janaan sisa 39,000 tan sehari, Malaysia memerlukan tenaga kerja yang mahir serta mematuhi piawaian perundangan dan prinsip pembangunan mampan.

SOSMIC akan menjadi standard baharu dalam memastikan akauntabiliti 5,288 pemegang lesen pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Majlis sama turut menyaksikan penyampaian sijil pelantikan tenaga pengajar pakar dan pengenalan modul latihan SOSMIC sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran teknikal SWCorp dalam memperkukuh ekosistem latihan nasional.

Sebagai rekod, tenaga pengajar terdiri daripada pegawai pakar SWCorp yang berpengalaman luas dalam operasi lapangan dan penguatkuasaan undang-undang.

Pelaksanaan SOSMIC ialah anjakan paradigma untuk melahirkan industri pengurusan sisa pepejal yang lebih profesional, berintegriti dan berdaya saing yang melibatkan 20,000 peserta.

KPKT komited memastikan SOSMIC menjadi platform latihan nasional yang
menyokong transformasi industri, seterusnya memperkukuh ekosistem pengurusan sisa pepejal negara agar terus progresif, moden dan mampan selaras agenda Malaysia MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button