BERITA SEMASA

Gerakan reformasi, Langkah Sheraton dicadang dalam kurikulum Sejarah baharu

KUALA LUMPUR – Peristiwa penting politik moden negara seperti pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, gerakan Reformasi 1998, himpunan BERSIH serta Langkah Sheraton dicadangkan dimasukkan dalam silibus mata pelajaran Sejarah bagi mendedahkan generasi baharu kepada realiti perjalanan demokrasi Malaysia.

Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan susulan kurikulum baharu subjek Sejarah yang bakal digunakan di peringkat sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan.

“Generasi baharu perlu didedahkan dengan sejarah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemunculan reformasi pada 1998, kemudian himpunan BERSIH yang jadi satu modul bagaimana pilihan raya di negara kita berlaku dalam (situasi) adil dan bersih.

“Begitu juga Langkah Sheraton, himpunan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960), dulu ia dianggap satu akta yang sangat zalim dan bila kemudian ISA dihapuskan di negara kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Baca juga : KPM komited pastikan kurikulum baharu subjek Sejarah bebas politik kepartian

Susulan cadangan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sebarang pelakaran kurikulum sesuatu mata pelajaran akan melalui proses sewajarnya sebelum diputuskan.

“KPM ambil maklum dan semua perkara berkenaan dengan pelakaran kurikulum sesuatu mata pelajaran itu akan lalui proses sewajarnya.

“Dalam melakar kurikulum Sejarah supaya kekal relevan dan seimbang, setiap kurikulum akan dilaksana melalui proses yang telus dan berasaskan pandangan yang membabitkan pakar sejarah, ahli akademik serta institusi seperti Arkib Negara.

“Sesi libat urus dengan guru, badan profesional dan masyarakat turut dilaksanakan bagi memastikan kandungannya kekal relevan dan tepat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button