Tiada tekanan ke atas MAS beli 30 pesawat Boeing bagi dapatkan pengurangan tarif AS
KUALA LUMPUR – Tiada sebarang tekanan dikenakan terhadap Malaysia Airlines (MAS) untuk membeli 30 pesawat Boeing sebagai syarat untuk mendapatkan pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menekankan, keputusan pembaharuan armada MAS adalah berasaskan pertimbangan komersial dan keperluan operasi jangka panjang.
“Ianya bukanlah hasil desakan atau paksaan daripada mana-mana pihak luar.
“Malahan, pesanan awal terhadap 25 unit B737 MAX telah dibuat sejak tahun 2016, jauh mendahului rundingan tarif yang dilaksana barubaru ini,” kata kementerian itu.
MITI berkata demikian dalam satu jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang ingin tahu jika wujudnya tekanan untuk MAS membeli 30 pesawat komersial Boeing bagi mendapatkan pengurangan tarif AS.
Dalam pada itu, tambahan 30 unit B737 MAX pada Mac 2025 pula adalah sebahagian daripada strategi penyegaran armada secara berfasa bagi menggantikan pesawat yang sudah berusia purata 14 tahun, katanya.
“Langkah ini adalah penting, khususnya dalam memastikan MAS mengekalkan tahap keselamatan, meningkatkan kecekapan bahan api dan kebolehdayaan pasaran dalam menghadapi persaingan sengit syarikat penerbangan global.
“Dari sudut manfaat limpahan ekonomi domestik pula, keputusan perolehan pesawat Boeing ini secara tidak langsung mengukuhkan ekosistem aeroangkasa negara, dan Malaysia telah pun menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global Boeing melalui Boeing Composites di Kedah,” katanya MITI.
Menurut MITI, sumbangan pelaburan industri aeroangkasa dalam negara dengan nilai RM25.1 bilion pada 2024 mewujudkan sekitar 30,000 pekerjaan berkualiti tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








