BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Negara berisiko hilang RM7 bilion jika gagal ganti pokok sawit usia lebih 25 tahun – Johari

KUALA LUMPUR – Negara berisiko kehilangan hasil eksport hampir RM7 bilion sekiranya ladang kelapa sawit berusia lebih 25 tahun gagal dilaksanakan penanaman semula, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, ladang kelapa sawit seluas 520,000 hektar memerlukan penanaman semula bagi memastikan industri sawit terus mampu menyumbang hasil yang stabil kepada negara. Bagaimanapun, masalah kewangan menjadi halangan utama bagi pekebun kecil untuk melaksanakan penanaman semula.

“Untuk skim penanaman semula pekebun kecil ini, peruntukan yang kerajaan beri pada 2024 iaitu RM100 juta habis digunakan. Jumlah tanaman dalam 5,100 hektar pada 2025 membabitkan RM50 juta pun habis.

“Sewaktu saya bahas Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kita minta RM1.4 bilion untuk selamatkan industri kelapa sawit. Kerajaan tidak ada duit. RM1.4 bilion itu secara purata berjumlah kira-kira RM280 juta setahun.

“Namun, jumlah yang diterima hanyalah RM100 juta, menyebabkan berlaku kekurangan dalam peruntukan tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.

Johari menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai kadar kejayaan penanaman semula di bawah skim 50-50 serta keluasan ladang yang gagal dilaksanakan penanaman semula akibat kekangan modal daripada pekebun kecil.

Beliau menegaskan kerajaan akan berusaha memohon pertimbangan untuk menyediakan subsidi bagi membantu pekebun kecil menampung kos penanaman semula bagi memastikan kesinambungan industri sawit negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button