BERITA SEMASA

Radzi Jidin saran Ketua Audit Negara hentikan penglibatan Jabatan Audit dalam program kerajaan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen blok pembangkang, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) menyarankan Ketua Audit Negara supaya menghentikan penglibatan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam sebarang program kerajaan.

Radzi berkata, pembabitan JAN dalam program kerajaan seperti Santuni MADANI dikhuatiri akan menyebabkan ancaman advokasi terhadap jabatan itu.

Katanya, adalah penting bagi jabatan berkenaan untuk sentiasa dilihat bebas daripada pengaruh tekanan dan konflik kepentingan.

“Saya ingin menyentuh satu promosi e-poster di laman Facebook JAN yang tertulis program Santuni MADANI yang akan diadakan 26 Julai ini di Taman Tasik Taiping.

“Saya buat semakan lanjut program Santuni MADANI yang membabitkan kementerian dan agensi kerajaan yang diletakkan di bawah unit penyelarasan dan pelaksanaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“KAN perlu umumkan segera bahawa mulai hari ini, JAN akan menghentikan sebarang pembabitan program Santuni MADANI atau program lain bagi memastikan warga kerjanya fokus terhadap tugasan hakiki,” katanya.

Radzi berkata demikian ketika sesi perbahasan Usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), di Dewan Rakyat semalam.

Beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, walaupun penglibatan itu dilihat seperti ‘biasa’, pembabitan dalam program sedemikian memberi kesan kepada kebebasan JAN sebagai juruaudit.

Jelas beliau, perkara sedemikian boleh menimbulkan konflik kepentingan apabila timbulnya pertikaian ketika audit perlu dilakukan terhadap penganjuran program berkenaan.

“Bagaimana JAN hendak laksanakan audit pada keseluruhan program ketika mereka sendiri menjadi pendokong dan mempromosikan program itu.

“Ini adalah ancaman advokasi kepada kebebasan JAN. Bayangkan bila kita sudah mempromosikan sesuatu produk, adakah kita hendak kata produk itu tidak bagus atau tidak baik?” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button