Reformasi struktur bukan pilihan, tetapi keperluan untuk negara – PM
KUALA LUMPUR – Reformasi struktur ekonomi negara bukanlah satu pilihan, tetapi keperluan penting demi masa depan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, lima keutamaan dalam reformasi MADANI merangkumi kemampanan fiskal dan tadbir urus, rasionalisasi subsidi, reformasi sistem percukaian, peningkatan modal insan serta pengukuhan integriti institusi.
“Reformasi bukan kemewahan, tetapi keperluan nasional. Kita tiada pilihan selain melaksanakannya demi menyelamatkan ekonomi negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.
Baca juga : Tarif ekonomi AS tidak gugat kestabilan ekonomi negara – PM Anwar
Beliau berkata, walaupun berdepan tekanan global termasuk tarif, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan asas yang kukuh.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Anwar menegaskan kerjasama serantau yang kukuh menjadi asas kepada pertumbuhan inklusif, mampan dan berdaya tahan di rantau ini, sekaligus menjadi kekuatan utama Malaysia menghadapi cabaran global.
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, ASEAN dan kerjasama ekonomi serantau yang dibina sejak sekian lama menjadi panduan tetap dan benteng menghadapi cabaran luar,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia sedang merintis hala tuju baharu dalam transformasi digital negara melalui pelbagai strategi nasional seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital, Rangka Tindakan Sektor Kewangan dan Pelan Induk Pasaran Modal.
Jelas Anwar, Malaysia antara negara terawal meneroka bidang aset digital apabila mula mengkaji penggunaan mata wang digital bank pusat (CBDC) seawal 2017.
“Usaha ini diperkukuh dengan pelaksanaan rangka kerja kawal selia formal pada 2019, memberikan keyakinan dan kejelasan kepada pelabur serta industri dalam urus niaga dan pelaburan aset kripto,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, Malaysia telah melancarkan Hab Inovasi Aset Digital bagi memperkukuh kerjasama antara pengawal selia dan pemain industri dalam mendorong inovasi kewangan digital.
Katanya, pelancaran hab tersebut mencerminkan komitmen kerajaan memastikan dasar negara selari dengan perkembangan teknologi.
“Hab ini akan menjadi pemangkin kemajuan dengan membolehkan pencipta menguji aplikasi seperti pembayaran boleh atur cara, stablecoin disandarkan kepada ringgit dan pembiayaan rantaian bekalan.
“Langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan sistem kewangan serta memberi manfaat lebih luas kepada ekonomi negara,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment