BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANPMX

Bantuan tambahan mahasiswa akan dipertimbang – Anwar

CYBERJAYA – Kerajaan bersedia mempertimbangkan untuk menyalurkan bantuan tambahan secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada golongan mahasiswa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut adalah bagi meringankan beban kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Baru saya lulus RM100 (Sumbangan Asas Rahmah) untuk semua usia 18 tahun ke atas (baru-baru ini). Baik, kita boleh beri pertimbangan.

“Tetapi yang kita dah bagi ini, yang one-off RM100, tetapi saya tahu (ada keperluan), kita boleh pertimbangkan dalam belanjawan, apa-apa yang kita boleh kurangkan,” katanya.

Anwar berkata demikian susulan soalan yang dikemukakan oleh wakil mahasiswa ketika sesi dialog Temu Anwar di Universiti Multimedia (MMU), di sini hari ini.

Menjawab pertanyaan berhubung isu bebanan hidup yang ditanggung mahasiswa, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun tekanan ekonomi dirasai, harga barangan asas di negara ini masih terkawal jika dibandingkan dengan negara luar.

“Itu kita kena terima, apakah ia tidak merunsingkan?. Ia merunsingkan. Kalau tanya saya apakah masalah yang saya bimbang sebagai tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, saya masih runsing mengenai masalah kemiskinan tegar, kemiskinan rakyat dan beban kepada mereka.

“Itu memang hal yang kita harus tangani dengan sebaik mungkin tetapi percayalah, bila kita naik gaji (penjawat awam) baru-baru ini, gaji menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen, tidak kita naikkan dan itu isyarat bahawa kita ada tanggungjawab,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan memperkukuhkan tadbir urus terutamanya dalam sistem perolehan kerajaan bagi memastikan pengurusan kewangan negara lebih berhemah.

“Sebab itu saya kata tatakelola. Kalau kita dapat jalankan ini, kita boleh selamatkan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dari dana yang dirampas dalam kalangan yang menggondol kekayaan tidak ikut peraturan dan undang-undang, itu cecah sampai RM4 bilion, RM5 bilion,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button