BERITA SEMASADALAM NEGERI

Peralihan kuasa mesti melalui pilihan raya adil dan bebas – HIKAM

KUALA LUMPUR – Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menegaskan bahawa sebarang peralihan kuasa dalam negara perlu dilaksanakan menerusi saluran yang sah, iaitu pilihan raya yang adil, bebas dan demokratik.

Gesaan itu dizahirkan dalam satu kenyataan bersama empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah gabungan tersebut iaitu Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).

Menurut kenyataan itu, HIKAM berpandangan bahawa usaha menjatuhkan kerajaan secara tidak sah bukan sahaja menggugat kestabilan politik malah mengundang risiko terhadap ekonomi negara serta menambah penderitaan rakyat.

“Justeru, HIKAM dengan tegas menolak usaha menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang, tekanan politik yang tidak sah atau perancangan seumpama Langkah Sheraton 2.0,” menurut kenyataan itu.

Gabungan itu turut mengingatkan semua pihak, termasuk pembangkang, supaya menjalankan peranan semak dan imbang dengan beradab dan melalui saluran perundangan yang dibenarkan.

“Peralihan kuasa hanya wajar berlaku melalui pilihan raya yang adil dan bebas, selari dengan prinsip syura serta suara rakyat,” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, HIKAM menggesa rakyat agar terus mempertahankan kedaulatan demokrasi, menolak ketidakstabilan politik dan menyokong agenda pembangunan negara yang berasaskan keadilan sosial dan kemakmuran bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button