Warga emas parah ditumbuk anak sendiri
TAWAU – Seorang lelaki warga emas cedera parah selepas ditumbuk oleh anak kandungnya dalam satu kejadian di Kampung Pitas, Bombalai, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 60-an mengalami kecederaan serius di bahagian muka dan kepala akibat serangan fizikal oleh anak lelakinya yang berumur 23 tahun.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut sebelum sepasukan anggota polis digerakkan mengesan suspek.
“Kurang daripada dua jam selepas laporan diterima, suspek berjaya dikesan berada di kawasan perumahan pekerja berhampiran lokasi kejadian.
“Ketika tangkapan dilakukan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan pada pukul 10.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Jasmin turut menasihatkan orang ramai agar lebih peka terhadap kesihatan mental dan kawalan emosi dalam kalangan ahli keluarga masing-masing.
“Selesaikan masalah keluarga secara matang dan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti ini daripada berulang,” katanya.
Mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








