
Ratusan warga Palestin terdesak dapatkan makanan dibunuh tentera Israel
GAZA – Lebih 100 rakyat Palestin terbunuh dan kira-kira 700 lagi cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah ratusan orang awam yang menunggu bantuan makanan di kawasan barat daya Bandar Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza pada Khamis berkata, sekurang-kurangnya 112 orang terbunuh dan lebih 750 cedera, dengan Kementerian Luar Palestin mengecam apa yang dikatakan sebagai “pembunuhan beramai-ramai”.
Kementerian itu berkata, serangan itu adalah sebahagian daripada “perang genosid” oleh tentera Israel terhadap penduduk Gaza.
Dalam pada itu, kementerian tersebut turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk “campur tangan segera” bagi mempercepatkan gencatan senjata sebagai satu-satunya cara untuk melindungi orang awam.
“Orang ramai telah berkumpul di Jalan al-Rashid, di mana trak bantuan yang membawa tepung dipercayai sedang dalam perjalanan,” lapor Al Jazeera.
Selain itu, Al Jazeera turut mengesahkan rakaman yang menunjukkan berpuluh-puluh mayat rakyat Palestin yang terbunuh dan cedera dibawa ke atas trak kerana tiada ambulans dapat sampai ke kawasan itu.
“Kami pergi ambil tepung. Tentera Israel menembak kami. Terdapat ramai syahid di bumi dan sehingga saat ini kami menarik mereka. Tiada pertolongan cemas,” kata seorang saksi.
Melaporkan dari tempat kejadian, Ismail al-Ghoul dari Al Jazeera berkata, selepas melepaskan tembakan, kereta kebal Israel maju dan melanggar banyak mayat yang mati dan cedera.
“Ia adalah pembunuhan beramai-ramai, dengan kebuluran yang mengancam rakyat di Gaza,” katanya.
Mereka yang maut dan cedera telah dibawa ke empat pusat perubatan: al-Shifa, Kamal Adwan, Ahli dan hospital Jordan.
“Ambulans tidak dapat sampai ke kawasan itu kerana jalan raya telah musnah sama sekali.
“Jumlahnya akan meningkat. Hospital tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang ramai kerana kekurangan minyak apatah lagi ubat. Hospital juga kehabisan darah,” kata al-Ghoul.
Melaporkan dari Baitulmaqdis Timur yang diduduki, Bernard Smith dari Al Jazeera berkata, tentera Israel pada mulanya cuba menyalahkan orang ramai dengan mengatakan bahawa berpuluh-puluh cedera akibat diremukkan dan dipijak apabila trak bantuan tiba.
“Kemudian, selepas beberapa orang menolak Israel terus mengatakan tentera mereka berasa terancam dan beratus-ratus tentera menghampiri tentera mereka dengan cara menimbulkan ancaman sehingga mereka bertindak balas dengan melepaskan tembakan,” kata Smith.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








