BERITA SEMASADALAM NEGERI

Syarikat telco umum bantuan untuk mangsa kebakaran Putra Heights

PUTRAJAYA – Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara tampil menyalurkan bantuan kepada mangsa insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku di Putra Heights.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bantuan tersebut mendapat kerjasama daripada syarikat telco CelcomDigi, Maxis, TM Unifi, U Mobile dan YES.

Jelas beliau, sumbangan tersebut merangkumi pengecualian bayaran perkhidmatan bagi pelanggan prabayar dan pascabayar untuk tempoh tertentu, penggantian peralatan serta penukaran kad SIM secara percuma.

Fahmi berkata, perkhidmatan Wi-Fi 5G juga disediakan secara percuma di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights.

“Bentuk bantuan yang ditawarkan berbeza mengikut syarikat telco dan akan disesuaikan mengikut keperluan semasa, tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

“Langkah tersebut mencerminkan keprihatinan syarikat-syarikat telco terhadap kesejahteraan rakyat, selari dengan prinsip ihsan dan kebajikan yang menjadi teras dalam Kerajaan Madani,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Fahmi menambah, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan ini boleh mengunjungi kaunter bergerak syarikat telco di PPS Putra Heights.

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian utama syarikat berkenaan, atau hadir ke mana-mana cawangan berdekatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button