BERITA SEMASA

Amirudin nafi dakwaan Tengku Zafrul bakal ganti MB Selangor

PETALING JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan bahawa penyertaan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertujuan untuk menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

Menurut Amirudin, beliau menyedari akan desas-desus yang beredar, namun perkara tersebut dilihat sukar untuk direalisasikan memandangkan Tengku Zafrul bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

“Pada pendapat saya, perkara ini agak rumit, saya tidak melihat jalan untuk Tengku Zafrul menjadi Menteri Besar sebab nak kena buat Pilihan Raya Kecil lagi.

“Sedangkan tempoh penggal DUN hanya berbaki dua tahun setengah, jadi tak banyak yang boleh kita aturkan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Mengulas mengenai hasrat Tengku Zafrul untuk menyertai PKR selepas mengumumkan keluar daripada UMNO, Amirudin menyifatkan ia sebagai satu perkembangan positif buat parti.

“Penyertaan beliau akan menambah nilai dan memperkukuh kredibiliti PKR.

“Saya yakin kami boleh bekerjasama dengan baik berdasarkan pengalaman sebelum ini,” jelasnya.

Amirudin turut mendedahkan bahawa Tengku Zafrul sebelum ini banyak terlibat dalam projek berkaitan sektor aeroangkasa dan semikonduktor di Selangor sewaktu menjawat jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Hubungan kerja antara kerajaan negeri dan beliau sudah wujud sebelum ini, jadi tidak timbul isu keserasian,” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai kesan penyertaan Tengku Zafrul terhadap hubungan antara PKR dan UMNO, Amirudin memaklumkan bahawa satu perbincangan telah diadakan.

Namun, beliau tidak mendedahkan perincian berhubung perkara itu.

“Perbincangan agak panjang telah berlangsung hari ini. Ada ura-ura sejak tahun lepas mengenai perkara ini.

“Saya percaya persefahaman boleh dicapai atau mungkin telah dicapai, namun saya tidak begitu maklum secara terperinci,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh turut mengesahkan bahawa permohonan rasmi Tengku Zafrul untuk menyertai parti masih dalam proses dan akan diteliti dengan mengambil kira pandangan rakan-rakan dalam kerajaan.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan keluar dari UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button