BERITA SEMASADALAM NEGERI

Isu kolam takungan banjir: SPRM beri taklimat minggu ini – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengadakan sesi taklimat khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini berhubung isu kolam takungan banjir di ibu negara yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan selepas dilaporkan hanya tinggal kira-kira 30 peratus daripada keluasan asal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, taklimat berkenaan bertujuan mendapatkan penjelasan lengkap mengenai hasil siasatan SPRM berkaitan penukaran status tanah melibatkan kolam takungan banjir di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, sesi tersebut akan melibatkan beberapa pihak berkaitan termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, pasukan petugas khas, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain serta Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

“Kita telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan taklimat lengkap mengenai hasil siasatan mereka dan taklimat itu sedang diusahakan untuk diadakan minggu ini.

“Selepas sesi itu nanti, kita akan memaklumkan kepada media mengenai hasil siasatan dengan maklumat lebih terperinci,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menerima keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung isu penukaran status tanah kolam takungan banjir selepas siasatan dijalankan pada 2022.

Keputusan itu dibuat selepas hasil siasatan dirujuk kepada pihak pendakwaan pada 2023 dan tiada unsur rasuah dikenal pasti.

Siasatan tersebut turut melibatkan penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara termasuk di Taman Wahyu bagi tujuan pembangunan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Mohd Hafaz Nazar sebelum ini memaklumkan siasatan dijalankan susulan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam proses kelulusan beberapa projek pembangunan yang didakwa menjejaskan fungsi kolam takungan air sekitar Kuala Lumpur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button