Jaga akhlak, keperibadian sepanjang tempoh kempen – Dr Dzulkefly
REMBAU – Semua calon Pakatan Harapan (PH), khususnya daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), diingatkan supaya menjaga akhlak dan keperibadian sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perjalanan kempen perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan tanggungjawab supaya rakyat dapat menilai sendiri kewibawaan calon yang diketengahkan, lapor SH Online.
Tambahnya, persaingan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak menyebarkan fitnah, membuat tohmahan atau menyerang pihak lawan secara keterlaluan.
“Saya mahu kita menjaga akhlak dan keperibadian. Penerangan yang dibuat tidak perlulah sehingga memfitnah atau mentohmah pihak lawan.
“Walaupun persaingan politik sememangnya begitu sifatnya, kita perlu memastikan kempen berjalan dengan lancar dan baik,” katanya ketika hadir pada kempen calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Ustaz Muhammad Allif Ibrahim di Kampung Astana Raja, di sini pagi tadi.
Dzulkefly berkata, persaingan pada PRN kali ini disifatkan sebagai satu ‘brotherly fight’, kerana melibatkan saingan antara parti yang menjadi rakan di peringkat Persekutuan tetapi bertanding sebagai lawan di negeri berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak mengelakkan perseteruan dan persengketaan yang tidak perlu sehingga boleh mengeruhkan suasana politik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















