LUAR NEGARA

Trump kaitkan pengambilan paracetamol dalam kalangan ibu hamil sebagai punca autisme

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donlad Trump mengumumkan satu kesimpulan yang amat kontroversi apabila mengaitkan pengambilan acetaminophen, yang dijual dengan jenama Tylenol di Amerika Syarikat (AS) atau paracetamol dalam kalangan ibu hamil sebagai punca autisme.

Dapatan itu merupakan hasil siasatan besar-besaran yang diterajui Setiausaha Kesihatan, Robert F Kennedy Jr., lapor The Guardian.

Trump ketika mengumumkan dapatan itu mendakwa, penggunaan bahan itu ketika hamil meningkatkan risiko autisme dalam kalangan kanak-kanak, satu dakwaan yang dipertikaikan hebat oleh saintis antarabangsa dan bercanggah dengan kajian sedia ada.

“Bukan semuanya difahami atau diketahui 100 peratus, tetapi saya fikir kita sudah membuat banyak kemajuan (dalam kajian ini).

“Mengambil Tylenol tidak baik… Semua wanita hamil perlu berbincang dengan doktor mereka tentang mengehadkan penggunaan ubat ini ketika hamil. (Jadi) Jangan ambil Tylenol. Tiada kesan buruk (jika tidak mengambilnya),” kata Trump.

Beliau kemudian turut bercakap mengenai rancangan pemberian vaksin kepada bayi yang meliputi vaksin campak, beguk, rubela dan cacar air (MMRV) secara berkala dan dalam dos yang lebih kecil.

Kennedy kemudian mengumumkan bahawa Jabatan Kesihatan dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) akan berusaha menukar label risiko pada acetaminophen.

Pegawai pentadbiran AS kemudiannya turut mendedahkan rancangan untuk menyiasat lebih lanjut kemungkinan rawatan autisme melalui leucovorin, sejenis ubat yang kini digunakan untuk pesakit kanser dan anemia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button