BERITA SEMASA

LHDN perkukuh interaksi langsung dengan pembayar cukai melalui Operasi Guaman

GEORGE TOWN – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) melancarkan Operasi Guaman di Menara Hasil Pulau Pinang dengan menekankan strategi interaksi secara langsung bersama pembayar cukai sebagai usaha memperkukuh sistem percukaian negara.

Operasi berfokus itu menyasarkan 50 syarikat dan individu yang masih gagal melunaskan tunggakan cukai serta kompaun walaupun notis peringatan telah dikeluarkan.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Norfaidah Daud, inisiatif tersebut bukan hanya bertujuan melaksanakan tindakan undang-undang, malah membuka ruang komunikasi secara bersemuka untuk membincangkan isu percukaian serta mencari penyelesaian yang lebih pragmatik dan efektif.

“Pelaksanaan operasi ini adalah pendekatan strategik yang mengutamakan interaksi terus bersama pembayar cukai. Ia membuktikan kesungguhan LHDN untuk bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang, tetapi juga memberikan peluang rundingan yang membina ke arah penyelesaian bersama,” katanya.

Tambah beliau, strategi itu selari dengan komitmen LHDN memperkukuh integriti sistem percukaian negara, meningkatkan keberkesanan kutipan serta memastikan hasil yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

LHDN dalam kenyataan turut menegaskan bahawa prosiding guaman sivil dan pendakwaan tetap akan dilaksanakan terhadap pihak yang enggan memberikan kerjasama, namun sinergi positif dengan pembayar cukai akan terus menjadi keutamaan bagi membina ekosistem percukaian yang progresif dan responsif.

Majlis pelancaran operasi tersebut disempurnakan oleh Norfaidah bersama barisan pengurusan kanan LHDN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button