BERITA SEMASA

Pelantikan Undang Rembau baharu masuk fasa penting hari ini

SERI MENANTI – Proses pelantikan Undang Luak Rembau yang baharu dijangka memasuki fasa penting apabila Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau dijadual mengadap Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti pada petang hari ini.

Istiadat mengadap yang dijadual berlangsung pada jam 3 petang itu bertujuan memohon perkenan bagi penetapan tarikh Istiadat Mengadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang untuk bakal Undang Luak Rembau yang baharu.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, istiadat berkenaan merupakan antara proses penting dalam adat dan tradisi pemerintahan Negeri Sembilan sebelum bakal Undang dizahirkan secara rasmi.

Menurut beliau, rombongan Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau dijadual tiba di Istana Besar Seri Menanti pada jam 2.30 petang sebelum disambut Orang Empat Istana dan dibawa ke Balairong Kecil.

“Tunku Besar Seri Menanti kemudiannya dijadual berangkat ke Balai Mengadap Kecil bagi menerima mengadap rombongan tersebut.

“Istiadat akan dimulakan dengan haluan sembah, diikuti penyerahan tepak sirih sebagai adat mengadap sebelum Dato’-Dato’ Lembaga menyampaikan hasrat kehadiran mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkembangan itu mendapat perhatian kerana ia bakal menentukan langkah seterusnya dalam proses pelantikan Undang Luak Rembau yang baharu, yang memainkan peranan penting dalam sistem Adat Perpatih serta struktur pemerintahan tradisional Negeri Sembilan.

Istiadat berkenaan juga dijangka memberi petunjuk mengenai tarikh rasmi penzahiran Undang Luak Rembau yang baharu bagi meneruskan kesinambungan institusi adat yang menjadi tunjang pemerintahan Negeri Sembilan sejak sekian lama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button