42 prospek Pusat Koreksional Batu Gajah cipta rekod MBOR melalui kursus bantuan hayat dan AED
BATU GAJAH – Pusat Koreksional Batu Gajah mencipta sejarah apabila seramai 42 prospek berjaya menamatkan Kursus Asas Sokongan Hayat (Basic Life Support – BLS) dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED) secara bersijil, sekali gus melayakkan program berkenaan menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti bahawa institusi penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman, sebaliknya berperanan sebagai institusi pemulihan yang memberi peluang kedua kepada individu untuk membina semula kehidupan mereka.

Beliau berkata, melalui latihan seperti itu, prospek bukan sahaja dibekalkan dengan kemahiran menyelamatkan nyawa yang diiktiraf, malah dipupuk dengan nilai kemanusiaan, disiplin, tanggungjawab dan keyakinan diri sebagai persediaan untuk kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.
“Ini adalah falsafah yang terus menjadi teras Jabatan Penjara iaitu memulih, bukan menghukum semata-mata. Matlamat akhirnya adalah memastikan setiap prospek yang kembali ke pangkuan masyarakat mempunyai kemahiran, nilai dan keupayaan untuk menyumbang secara positif kepada keluarga, komuniti dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penjara, Hospital Batu Gajah dan semua pihak yang menjayakan inisiatif tersebut serta berharap lebih banyak program berimpak tinggi dapat dilaksanakan bagi memperkukuh agenda pemulihan dan reintegrasi sosial.
Program yang berlangsung di Wisma Pegawai Penjara, Pusat Koreksional Batu Gajah itu semalam merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Penjara dan Hospital Batu Gajah dalam usaha memperkasakan program pemulihan serta pembangunan kemahiran prospek.
Majlis penutup kursus tersebut disempurnakan oleh Pengarah Penjara Negeri Perak, Timbalan Komisioner Penjara Fayrouz Ahmad Zawawi.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr. Muhammad Najib Adnan; Pengarah Hospital Batu Gajah, Dr. Jayakumaran Jayabalan; Pakar Kecemasan dan Trauma Hospital Batu Gajah, Dr. Tirumal Subramaniam serta Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, Penolong Komisioner Penjara S Tanabal Socklingam.

Kursus berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran asas menyelamatkan nyawa termasuk resusitasi kardiopulmonari (CPR), bantuan pernafasan dan penggunaan alat AED melalui sesi teori, ujian bertulis serta latihan amali.
Dalam ucapannya, Fayrouz berkata pelaksanaan kursus itu selaras dengan aspirasi Jabatan Penjara Malaysia untuk memperkukuh proses pemulihan prospek secara menyeluruh.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja membekalkan kemahiran teknikal yang bernilai, malah membantu membentuk nilai kemanusiaan, disiplin, tanggungjawab sosial serta keyakinan diri dalam kalangan peserta.
“Penglibatan prospek dalam kursus ini membuktikan setiap individu mempunyai potensi untuk berubah, memperbaiki diri dan seterusnya memberi sumbangan positif kepada masyarakat apabila kembali ke pangkuan keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, pengiktirafan MBOR yang diterima menjadi bukti komitmen berterusan Jabatan Penjara dalam melaksanakan inisiatif pemulihan yang inovatif, progresif dan memberi impak positif kepada prospek.
Katanya, kejayaan itu diharap menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program pembangunan modal insan pada masa depan bagi memperkukuh usaha pemulihan dan reintegrasi sosial penghuni institusi koreksional.
“Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan individu yang berkemahiran, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat selepas tamat menjalani proses pemulihan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
