POLITIK

RoS teliti dokumen dikemukakan PCM

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kini dalam proses meneliti dokumen berkaitan pindaan Perlembagaan Parti Cinta Malaysia (PCM) serta perubahan kepimpinan parti itu kepada Parti Wawasan Negara (WAWASAN) yang dikemukakan pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, sebarang keputusan termasuk berkaitan keabsahan penyertaan parti berkenaan dalam Perikatan Nasional (PN) hanya akan dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap dokumen yang diterima selesai dilakukan.

Menurut beliau, setiap permohonan dan dokumen yang diterima perlu melalui proses semakan serta penelitian terperinci bagi memastikan ia mematuhi peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) dan Perlembagaan PCM.

“Sekiranya terdapat keperluan untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau dokumen tambahan, pihak PCM akan diminta mengemukakan maklumat berkaitan bagi melengkapkan proses penelitian tersebut.

“Sebarang keputusan akan dimaklumkan mengikut prosedur yang ditetapkan,” memetik BH online.

Sebelum itu, mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN) memutuskan untuk menerima dua parti baharu sebagai komponen gabungan itu iaitu Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan WAWASAN yang sebelum ini dikenali sebagai PCM.

Bagaimanapun, kemasukan WAWASAN yang diterajui bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan menerima bantahan daripada Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyifatkan proses tersebut tidak teratur.

Dalam pada itu, Mohd Zulfikar menjelaskan penggunaan mana-mana logo parti politik oleh pertubuhan berdaftar hanya boleh dilakukan selepas mendapat kelulusan RoS selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Namun penggunaan logo berkenaan bagi tujuan pilihan raya adalah tertakluk kepada pertimbangan, syarat serta bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, RoS akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional, telus, adil dan berintegriti dalam membuat sebarang pertimbangan berkaitan perkara tersebut.

“Segala keputusan akan dibuat berdasarkan fakta, dokumen serta peruntukan perundangan yang berkaitan tanpa dipengaruhi mana-mana kepentingan atau pihak,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button