PN kekal bersama empat parti, tiada isu kerjasama – Takiyuddin
BANGI – Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai sebuah gabungan yang utuh dengan penglibatan empat parti, dan tiada sebarang isu berkaitan kerjasama dalam gabungan itu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN sejak awal ditubuhkan terdiri daripada empat parti dan kesemuanya bergerak seiring tanpa sebarang masalah.
“PN ini ada empat parti dan empat-empat parti ini kita bersama. Tidak timbul sebarang isu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Permukiman PAS yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.
Takiyuddin berkata, situasi sama turut berlaku di peringkat negeri apabila PN kini mentadbir empat negeri, termasuk Perlis, yang masih kekal di bawah pentadbiran gabungan berkenaan.
“Begitu juga di peringkat negeri, kita ada empat negeri termasuk Perlis dan semuanya masih di bawah PN. Tiada masalah,” katanya lagi.
Sebelum itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menafikan dakwaan kononnya PAS berhasrat mengetepikan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada PN, sebaliknya menegaskan komitmen parti itu untuk mengekalkan perpaduan dalam gabungan berkenaan.
Abdul Hadi berkata, perkara berkaitan perpaduan turut disentuh dalam permukiman tahunan itu, namun tidak dibincangkan secara terperinci.
Terdahulu, wujud dakwaan serangan berterusan terhadap Presiden BERSATU dari dalam dan luar parti yang didakwa bertujuan memaksa Muhyiddin berundur menerusi agenda yang digelar sebagai ‘Muhyiddin Exit’.
Bekas Setiausaha Politik Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, dilaporkan mendakwa terdapat individu dalam Bersatu serta parti rakan PN yang menyerang Muhyiddin secara terbuka.
Beliau turut mendakwa, cadangan penubuhan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif PN bukan bertujuan memperkukuh gabungan, sebaliknya bagi mengehadkan kuasa Muhyiddin selaku Pengerusi PN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








