Perpecahan PAS-BERSATU sudah dijangka – Zahid
KUALA LUMPUR – Keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU bukan sesuatu yang mengejutkan kerana perkembangan itu telah dijangkakan berdasarkan dinamika politik semasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang bentuk kerjasama atau kolaborasi politik perlu dibina atas asas keikhlasan dan bukannya sekadar kepentingan politik jangka pendek.
“Kami telah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Kita tidak mendahului hukum Tuhan, tetapi ini merupakan satu telahan dari sudut pandang politik.
“Sebarang kolaborasi mesti dilandasi dengan penuh keikhlasan dan tidak ada unsur-unsur pengkhianatan di dalamnya,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Pendidik KEMAS di sini pada hari ini.
Presiden UMNO itu berkata, perkembangan tersebut sewajarnya menjadi pengajaran kepada semua pihak bahawa kerjasama politik tidak boleh hanya berasaskan percaturan kuasa semata-mata.
“Sebaliknya, ia perlu menjurus kepada agenda pembangunan negara dan penyatuan rakyat bagi mencapai matlamat yang lebih besar untuk jangka masa panjang.
“Ini merupakan satu pengajaran bahawa sebarang kolaborasi bukan hanya dipegang dan bersandarkan kepada sudut pandang politik, tetapi harus dilihat dari segi pembangunan dan kesatuan sebuah negara bangsa.
“Ia mesti dibuat untuk satu jangka masa yang panjang agar matlamat negara dapat dicapai dan penyatuan anak bangsa dapat dilakukan,” katanya lagi.
Beliau turut berharap sebarang kerjasama politik yang dibentuk pada masa hadapan tidak sekadar dimeterai di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan melalui komitmen dan keikhlasan yang berkekalan.
Zahid turut berkata, beliau percaya tiada sebarang perbezaan pendapat yang tidak boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bersedia mencari titik persamaan.
“Saya yakin tidak ada suatu pun masalah yang tidak boleh dirungkaikan dan tidak ada perbezaan pendapat yang tidak boleh dilakukan penyatuan semula,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau menyifatkan hubungan antara parti-parti politik sebagai satu bentuk “pertunangan politik” yang perlu diperhalusi dan disusuli dengan langkah-langkah yang lebih konstruktif pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








