BERSATU nafi khianati PAS isu kemelut politik Perlis
PETALING JAYA – BERSATU menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengkhianati PAS susulan krisis politik di Perlis yang membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjelasan berhubung isu tersebut diperoleh selepas beliau menerima taklimat daripada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti malam ini.
Menurutnya, kepimpinan di Perlis memaklumkan bahawa BERSATU tidak terbabit dalam krisis berkenaan.
“BERSATU tidak terbabit. Apabila keputusan sudah dibuat oleh Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail), itu adalah keputusan kuasa mutlak baginda yang wajib dihormati.
“BERSATU tidak memainkan sebarang peranan untuk mensabotaj PAS. Tidak ada. Itulah keputusan sebenar.
“Kita menafikan sekeras-kerasnya jika ada pihak yang mengatakan kita pengkhianat. Tidak, tidak ada kaitan dan saya secara peribadi juga tidak terbabit dalam perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPT BERSATU yang berlangsung hampir tiga jam dan dihadiri barisan Ahli MPT termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, malam tadi.
Kemelut politik di Perlis tercetus selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), terdiri daripada tiga wakil PAS dan lima daripada BERSATU, dilaporkan menarik sokongan terhadap kepimpinan Mohd Shukri, sebelum beliau meletak jawatan dengan alasan kesihatan.
Tindakan itu sebelum ini disifatkan pimpinan PAS sebagai satu pengkhianatan terhadap parti tersebut sebagai rakan komponen BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN), sekali gus mencetuskan konflik dalam gabungan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








