PAS beri mandat kepada kepimpinan pusat tentukan hala tuju hubungan dengan BERSATU
KUALA LUMPUR – Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS mengakui krisis dalaman yang melanda BERSATU kini memberi kesan terhadap kestabilan dan keyakinan rakyat terhadap gabungan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, keputusan tersebut dibuat selepas MSU meneliti laporan kepimpinan parti serta hasil kajian beberapa penyelidik berhubung landskap politik semasa.
Menurut beliau, konflik yang berlarutan dalam BERSATU dilihat memberi kesan langsung kepada kekuatan dan kestabilan PN sebagai blok pembangkang utama negara.
“Majlis Syura Ulamak mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman BERSATU yang dilihat telah menjejaskan kekuatan, kestabilan serta keyakinan rakyat terhadap hala tuju PN dalam membawa agenda penyatuan ummah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, PAS akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan Islam dan mengutamakan kepentingan rakyat serta negara mengatasi kepentingan mana-mana individu atau kelompok politik.
Keputusan itu hadir ketika hubungan antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dilihat melalui fasa paling mencabar sejak pembentukan PN, susulan beberapa perkembangan yang menggugat kestabilan parti berkenaan.
“Antara isu yang menjadi perhatian ialah perubahan sokongan dalam kalangan wakil rakyat, perbezaan pendekatan menangani isu nasional serta ketidaktentuan dalam struktur kepimpinan BERSATU,” katanya lagi.
Perkembangan tersebut turut mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai masa depan PN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), khususnya apabila PAS kini dianggap sebagai komponen paling dominan dari segi kekuatan jentera dan sokongan akar umbi dalam gabungan itu.
Ahmad berkata, setiap keputusan politik PAS perlu berpandukan syarak, maslahah ummah, kestabilan negara dan usaha memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang berprinsip.
“PAS tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan kestabilan negara serta agenda penyatuan ummah yang menjadi teras perjuangan parti,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menyeru ahli dan penyokong PAS supaya terus bertenang serta menghormati proses membuat keputusan yang akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi parti dalam tempoh terdekat.
Pendirian MSU itu dijangka menjadi petunjuk penting terhadap hala tuju hubungan PAS dengan BERSATU dan masa depan PN, ketika blok pembangkang berdepan cabaran menyusun semula kekuatan menjelang pilihan raya akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








