Onn Hafiz nafi dakwaan Puad, UMNO Johor bakal buat laporan polis
JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau pernah memaklumkan kononnya pihak Istana mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Onn Hafiz berkata, pembubaran DUN Johor dibuat mengikut proses perlembagaan selepas mendapat titah perkenan Tunku Mahkota Ismail selaku Pemangku Sultan Johor, sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Menurut beliau, sebagai Menteri Besar, pembubaran dewan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya dan perlu melalui prosedur yang ditetapkan sebelum mendapat perkenan pihak istana.
“Apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran DUN Johor kepada rakyat secara terbuka.
“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Puad yang mengumumkan keluar daripada UMNO serta mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan kerana dipengaruhi pihak istana.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, dakwaan berkenaan merupakan satu bentuk pemutarbelitan terhadap proses perlembagaan yang sah sehingga boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Institusi Diraja.
BACA JUGA:
Puad Zarkashi umum keluar UMNO, dakwa parti di Johor hilang kebebasan buat keputusan
“Beliau berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti.
“Namun, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Saya menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








