JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita disiasat selepas mengaku buat laporan ragut palsu

NILAI – Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an disiasat polis selepas mengaku membuat laporan palsu kononnya menjadi mangsa ragut bagi menyembunyikan penggunaan wang milik majikannya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan terhadap wanita itu selepas mendapati kejadian ragut yang dilaporkannya tidak pernah berlaku.

Menurut beliau, laporan polis berhubung kejadian ragut tersebut dibuat pada pukul 5 petang semalam dan didakwa berlaku di Putra Point, di sini.

“Hasil siasatan mendapati kejadian ragut yang dilaporkan adalah tidak benar.

“Suspek kemudiannya mengaku membuat laporan palsu bagi menyembunyikan penggunaan wang milik majikannya serta mengelakkan tindakan yang boleh dikenakan terhadap dirinya,” katanya dalam kenyataan.

Johari berkata, tindakan membuat laporan polis palsu merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh menjejaskan usaha pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan terhadap kes-kes sebenar.

Katanya, perbuatan itu turut menyebabkan pembaziran masa, tenaga dan sumber polis yang sepatutnya digunakan untuk membantu mangsa jenayah yang benar-benar memerlukan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Polis Daerah Nilai telah membuka 10 kertas siasatan membabitkan laporan polis palsu bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Jun tahun ini.

“Statistik ini menunjukkan masih terdapat segelintir individu yang menyalahgunakan saluran laporan polis untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan implikasi undang-undang serta kesannya terhadap usaha pencegahan dan penyiasatan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, Seksyen 182 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memberikan maklumat yang benar dan tepat kepada pihak berkuasa.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja membuat laporan palsu atau mengemukakan maklumat tidak benar bagi memastikan integriti sistem pelaporan polis terus dipelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button