JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki aktif samun tumpas di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Kegiatan licik seorang lelaki yang aktif melakukan jenayah ragut terbongkar selepas dia diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Sitiawan, Perak, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi pada 12 Oktober lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL).

“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan ragut di sekitar kawasan Timur Laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek menyasarkan penunggang motosikal lelaki yang memakai rantai emas sebagai mangsa.

“Penahanan suspek membantu polis menyelesaikan sebanyak 11 kes samun ragut di sekitar Pulau Pinang serta tiga kes lagi di Kulim, Kedah,” jelasnya.

Azizee berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah serta enam kesalahan dadah, manakala ujian saringan air kencing turut mendapati dia positif methamphetamine dan amphetamine.

Suspek kini direman selama 10 hari bagi membantu siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button