BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan tiga remaja lelaki disyaki samun pemandu e-hailing

JOHOR BAHRU – Tiga remaja lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun pemandu e-hailing dan kes kecurian, kelmarin.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor, tiga remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun itu ditahan pada pukul 3.15 petang semalam.

Beliau berkata, polis menerima laporan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun pada jam 9.18 pagi kelmarin.

“Pengadu mendakwa dia telah disamun tiga lelaki tempatan yang menaiki kenderaannya.

“Kejadian jam 7.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan menghantar suspek pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azrol berkata, setibanya di sebuah kawasan perumahan dekat Skudai, suspek meminta mangsa menunjukkan kod QR dengan alasan membuat bayaran tambang melalui aplikasi Touch ‘N Go.

“Ketika mangsa menghulurkan telefon bagi menunjukkan kod QR, suspek merampas telefon itu dan melarikan diri.

“Mangsa cuba mengejar suspek, namun tergelincir dan cedera ringan,” katanya sambil menambah ketiga-tiga suspek akan direman bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan samun berkumpulan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button