Polis dedah sindiket penipuan salah guna MyBayar PDRM, perdaya orang ramai
KUALA LUMPUR – Polis mengesan kewujudan sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sistem MyBayar PDRM bagi memperdaya orang ramai melalui dakwaan palsu berkaitan tunggakan tol dan kesalahan trafik.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM berkata, sindiket terbabit menggunakan modus operandi menghantar mesej yang mengandungi pautan rawak sebelum membawa mangsa ke laman web palsu yang direka menyerupai portal rasmi PDRM.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini, mangsa akan diarahkan menekan butang ‘Pay Now’ dan seterusnya diminta mengisi maklumat peribadi serta perbankan.
“PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah menghantar notis bayaran melalui pautan rawak atau aplikasi WhatsApp,” tegas kenyataan itu.
Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuka sebarang pautan mencurigakan atau mendedahkan maklumat perbankan kepada individu atau pihak yang tidak dikenali.
Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa mengesahkan sebarang maklumat berkaitan saman atau bayaran melalui laman web rasmi atau dengan hadir sendiri ke kaunter agensi kerajaan berkaitan.
“PDRM turut menggesa orang ramai melaporkan sebarang cubaan penipuan kepada balai polis berhampiran atau Pusat Respons Scam, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








