JENAYAH & MAHKAMAH

Kehilangan pempengaruh satu ‘lakonan’

MUAR – Kehilangan pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang menjadi tular di media sosial sebelum ini hanyalah satu lakonan bagi kepentingan peribadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pempengaruh yang dikenali sebagai Ija itu sudah tampil menyerah diri di Balai Polis Muar, hari ini.

“Siasatan mendedahkan, mangsa dipercayai menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Muar sebelum melarikan diri ke negara jiran.

“Adik mangsa mengesahkan bahawa dia turut bersubahat dan berpura-pura menjalankan usaha pencarian bagi mengaburi siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Raiz Mukhliz kemudian memberitahu, pihaknya sudah mengambil merakam keterangan Ija dan adiknya, dan membuka kertas siasatan berhubung laporan palsu, pemberian keterangan tidak benar serta bersubahat dalam insiden kehilangan individu yang disyaki direka untuk kepentingan peribadi.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam serta Seksyen 109 kerana bersubahat melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Polis menegaskan tindakan membuat laporan palsu adalah kesalahan serius yang boleh menjejaskan sumber dan keutamaan tugasan pihak berkuasa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button